pendidikan

            PENGENALAN
Pengetahuan dalam ilmu kesusasteraan amat penting dan hal ini tidak dapat dipisahkan dengan manusia dan masyarakat. Sastera hidup kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat dalam dua sudut pandangan, iaitu sudut pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.
Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, mencatatkan bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera.
Sejak kebelakangan ini, masyarakat tidak lagi meminati hasil Kesusteraan yang di hasilkan oleh para penulis tempatan. Ada yang lebih mengagungkan karya asing yang dianggap lebih terbuka dan matang seiring dengan peredaran zaman. Sedangkan karya tempatan cuba mengekalkan kesantunan bahasa sastera itu sendiri sesuai dengan norma hidup masyarakat melayu amnya.
Sungguhpun negara menuju ke arah wawasan 2020 tetapi nilai sejarah dan kesusteraan ini tidak harus di lupakan dan dipinggirkan hanya kerana hendak mengejar kemajuan semata-mata. Haru kita ingat apa yang di nikmati hari ini adalah sedikit sebanyak hasil usaha para sasterawan dalam memperjuangkan hak dan kemerdekaan masyarakat melalui penulisan yang di ungkapkan melalui hasil karya mereka. Marilah kita cuba mengenali sasterawan kita Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang agar kita faham apa yang cuba di perjuangkan oleh beliau melalui bidang kesusteraan.


 


       BIODATA DATO' USMAN AWANG 
Dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim.  Bapanya seorang nelayan dan ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) sehingga lulus ke Darjah VI.  Ketika penjajahan Jepun di Malaya, Usman menjadi petani di Segamat dan kemudiannya menjadi buruh paksa Jepun di Singapura selama enam bulan.
Dato' Usman Awang  adalah seorang  Sasterawan Negara  Malaysia yang dikurniakan gelaran tersebut pada tahun1983. Terkenal dengan nama penanya Tongkat Warrant, beliau adalah seorang penyair dan ahli drama yang prolifik ketika hayatnya. Usman Awang juga dikenali dengan nama Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., Zaini dan mungkin lain-lain.
 Ketika negara baru setahun mencapai kemerdekaan, karya-karya Usman adalah antara pengisinya. Beliau melontarkan cadangan, menegur serta mengkritik kepincangan kepimpinan, isu sosial, politik dan apa sahaja untuk memajukan bangsanya.
Elemen yang sangat ditekankan ialah pembelaan terhadap golongan miskin serta penggunaan bahasa Melayu sebagai alat integrasi, pendidikan, kehakiman dan sebagainya bagi menggantikan bahasa Inggeris yang sinonim dengan kolonialisme.
Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, karya-karya Allahyarham menjadi medium untuk memulihkan integrasi, persefahaman antara kaum dan nilai-nilai moral yang terluka akibat daripada kejadian tersebut.
Pada tanggal 29 November 2001, pada bulan Ramadhan, beliau meninggal dunia setelah lama menghidap penyakit jantung. Beliau ketika itu berusia 72 tahun.
Hari ini, selepas lapan tahun meninggal dunia, khazanah intelektual dan kreatif Allahyarham sentiasa relevan untuk menjadi medium pengisian pembangunan dan dan pembinaan masa depan negara.

            KEPERIBADIAN  DATO' USMAN AWANG 
Dato' Usman merupakan seorang penulis yang berani menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa negara. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis bila sudah berani menyatakan sikap. Kalau tak berani tak payah jadi penulis.Antara lain, Dato Usman pernah berkata “Saya menentang prejudis terhadap bahasa Melayu ini. Saya hampa kerana pemimpin negara sendiri yang tidak percaya kepada kemampuan bahasa kebangsaan.”
Dato' Usman Awang, penyair yang berjiwa rakyat meninggal pada 29 November 2001 pada bulan Ramadan. Jenazah beliau dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail,Kuala Lumpur di mana bersemadinya dua Sasterawan Negara, Keris Mas dan kini Tongkat Warrant. Penulis-penulis yang mengenali beliau turut hadir, antara lain Dr Anwar RidhwanSutung Umar RS, Dato A. Samad Said, Dato Baha Zain, Dato Shanmugalinggam dan Profesor Muhammad Haji Salleh.

            PENDIDIKAN AWAL DATO' USMAN AWANG 
Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanyalah setakat Darjah 6 Sekolah Melayu sahaja. Kemiskinan tidak membenarkannya mengecap kejayaan dengan lebih jauh dalam bidang pendidikan walaupun dia sangat gemar membaca dari kecil lagi. Bersekolah di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus Darjah 6.
Ketika Jepun menjajah Malaya bermula pada tahun 1942, Usman Awang adalah seorang anak tani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun selama 6 bulan diSingapura. Beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi ‘budak pejabat’ di Pejabat Taliair Segamat. Kemudian beliau memasuki Botai iaitu pasukan polis Jepun, tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, pihak Jepun menyerah kalah.
Usman Awang menjadi anggota polis bila Inggeris kembali memerintah semula pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau berhenti dan berhijrah ke Singapura dan bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita. Sesudah itu bekerja di Mingguan Melayu sebagai sidang pengarang.
Pada tahun 1952, Usman Awang mendapat tawaran bekerja di Utusan Melayu sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-Kanak. Beliau diangkat menjadi pengarang Utusan Zaman dan majalah Mastika selepas itu. Pada tahun Malaya mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur. Usman Awang turut serta berhijrah dengan memegang jawatan yang sama. Dalam tahun 1961, beliau terlibat dalam peristiwa pemogokan Utusan Melayu. Akibatnya beliau berhenti dan menganggur seketika.
Pada tahun 1962,Usman Awang bekerja di Penerbitan Federal selama lapan bulan. Kemudian beliau berkhidmat sebagai sidang pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka. Jawatan pertamanya adalah sebagai sidang pengarang untuk majalah Dewan Bahasa. Kemudian beliau menjadi pengarang untuk majalah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan yang disandang beliau ketika itu ialah Pegawai Penyelidik Kanan. Usman kemudian di tukarkan ke Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982 beliau menjadi ketua bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Selepas bersara dari Dewan Bahasa Dan Pustaka, Usman Awang bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat. Antaranya ialah Persatuan Persahabatan Malaysia-Cina. Sementara itu dalam tahun 1991, beliau di lantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan. Perlantikan ini di sifatkan oleh beliau sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan satu bangsa Malaysia. Jawatan ini di pegang hingga tahun 2001. Selain itu beliau dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank mulai 1991 hingga 2001.

            SUMBANGAN DATO' USMAN AWANG 
Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.
Usman adalah di antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun di dalam sajak-sajaknya. Dengan menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya, beliau pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah di antara keistimewaan yang ada pada Usman Awang.
Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair, sumbangan dan penyertaan Usman Awang amat dirasakan. Beliau banyak terlibat secara aktif dalam banyak aktiviti penulis. Bukan saja hidupnya sebagai pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga sebagai penggerak yang berani memberi inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda. Sejak tahun 1950-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM),Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-1965). Beliau juga adalah salah seorang yang mengambil daya inisiatif untuk mengadakan Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Gentar Rasa di Panggung Anniversary, Manifestasi Dua Seni dan banyak lagi aktiviti lain. Kumpulan Puisi “Keranda 152” dan “Telok Gong” juga adalah daya usaha Usman Awang bersama penyair lain.
Ketokohan Usman Awang menonjolkan kerana perwatakan peribadinya yang lemah lembut dan mesra, dan simpatinya terhadap golongan bawahan yang miskin dan manusia yang malang. Usman adalah seorang seniman yang berjiwa rakyat.
Usman Awang pernah diundang melawat Amerika Syarikat, Indonesia, Filipina, China dan Rusia, sebagai salah seorang penyair terkenal dari Malaysia. Beberapa buah karyanya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, China, Jepun, Korea, Peranchis, Thai, Czechkoslovakia, Danish, Tamil, Itali, Rusia dan lain-lain. Beliau di anggap sebagai seorang yang berjiwa besar dalam bidang sastera yang tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara.
Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan dedikasinya, beliau dilantik menjadi setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera, sebuah badan kehormat yang tertinggi di tanah air.
Dalam tahun 1982 Usman Awang telah dipilih menerima SEA Write Award. Pada 11 Ogos 1983 Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985 iaitu untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran). Anugerah ini bertujuan mengadakan kemudahan berkarya dan memberikan sumbangan kepada perkembangan kesusasteraan tanah air. Dalam tahun 1995 beliau diberi Anugerah Penyair Johor.
            Penulisan Puisi Dan Drama
Dalam bidang penulisan beliau lebih terkenal dengan lebih 200 puisi dan drama. Antara judul sajak yang sinonim dengan Usman Awang ialah
§  Bunga Popi
§  Ke Makam Bonda
§  Kekasih
§  Kurang Ajar
§  Pak Utih
§  Suara Dari Pusara
Dramanya yang terkenal ialah:
§  Matinya Seorang Pahlawan
§  Tamu Bukit Kenny
§  Serunai Malam
§  Malam Kemerdekaan
Drama muzikalnya ialah "Uda dan Dara". Hanya ada satu novel karya Usman Awang iaitu "Tulang-tulang Berserakan" (terjemahan ke dalam bahasa Rusia oleh Alla Rozhanskaya dengan judul "Tam Gde Ikh Nastigka Pulya" - Di sana mereka kena peluru - Moscow, 1984)
Dato' Dr. Usman Awang juga pernah menggunakan nama pena Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A., dan Zaini.
Pada tahun 1983, beliau dianugerahkan gelaran "Sasterawan Negara", SEA Write Award 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya 1983 serta Zamalah Sastera 1985. Pada tahun 1991 dianugerahi Darjah Kebesaran Dato' Paduka oleh Baginda Sultan Perak yang membawa gelaran Dato'.

            Penulisan Buku Dan Kajian
Berikut adalah hasil penulisan beliau dan kajian tentangnya :
1.      Enslaved souls : jiwa hamba : Institut Terjemahan Negara Malaysia, 2009.
2.      Turunnya sebuah bendera : UA Enterprise, 2007.
3.      Key concepts in Usman Awang's short stories : developing a critical tradition / Mohamad Mokhtar Hassan. : DBP, 2006.
4.      Kami yang terlibat : DBP, 2006.
5.      Seorang penyair, sebuah benua rusuh : biografi Usman Awang / Muhammad Haji SallehDBP, 2006
6.      Tulang-tulang berserakan : UA Enterprise, 2006.
7.      Sasterawan negara Usman Awang / Zurinah Hassan.: DBP, 2006.
8.      Usman Awang dalam esei dan kritikan/ penyelenggara Halilah Haji Khalid : DBP, 2004
9.      Yang bernama cinta memuatkan puisi "Kekasih" : Utusan Publications & Distributors, 2002.
10.  Koleksi terpilih sasterawan negara Usman Awang / penyelenggara DinsmanDBP, 1995.
11.  Selected plays by Usman Awang : DBP, 1995.
12.  Puisi-puisi pilihan (Edisi pelajar) : DBP, 1994.
13.  Matinya seorang pahlawan : Jebat = : Death of a warrior : Jebat / Usman Awang ; terjemahan oleh Rahmah Bujang : DBP, 1992.
14.  Puisi-puisi pilihan Usman Awang ; untuk Tingkatan 6 / Rahman Shaari: Fajar Bakti, 1992
15.  Gelombang : (sajak-sajak pilihan 1949-60) : DBP, 1988.
16.  Drama-drama pilihan Sasterawan Negara Usman Awang : DBP, 1987.
17.  Berkenalan dengan pengarang Usman Awang / Mana Sikana.: Pustaka Siswa Moden, 1986.
18.  Usman Awang : penyair ulung.: Berita Publishing, 1986.
19.  Panduan menulis cerpen / diselenggarakan oleh A. Bakar Hamid & Usman Awang. : DBP, 1984.
20.  Tamu di Bukit Kenny : DBP, 1984.
21.  Sikap dan pemikiran Usman Awang / diselenggarakan oleh Dinsman dan Sutung Umar RS.: Fajar Bakti, 1983.
22.  Salam benua = Greetings to the continent : DBP, 1982.
23.  Degup jantung.: Pustaka Melayu Baru, 1981.
24.  Titian zaman : antologi puisi pilihan / disusun dan dibicarakan oleh Usman Awang & Ismail Ahmad.: DBP, 1980.
25.  Muzika Uda dan Dara : DBP, 1976.

                 Terjemahan Ke Dalam Bahasa Rusia
§    Kulit buku Tulang-Tulang Berserakan dalam bahasa Rusia (1981)
§  Usman Awang. Kami Yang Terlibat. Penterjemah B. Parnickel. - in: Vostochny Almanakh (Almanak Timur), Vip. 5. Moscow: Goslitizdat, 1962, hlm. 259-267
§  Usman Awang. Bidak-Bidak; Sebuah Coretan; Kenangan Jauh. - in: U Obochini Shosse. Rasskazi Sovremennih Malayskih Pisatelei (Di Tepi Jalan. Cerpen Penulis Melayu Moden). Penusun dan penterjemah B. B. Parnickel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1963.
§  Usman Awang. Budi. Penterjemah B. B. Parnickel - in: Dobroe Delo. Rasskazi Pisatelei Malayzii i Singapura (Budi. Cerita Pendek Penulis Malaysia dan Singapura). Penyusun dan prakata B. B. Parnickel. Alma-Ata: Zhazushi, 1973.
§  Usman Awang. Bidak-Bidak; Tugas; Matinya Seorang Perempuan. Penterjemah B. Panickel, T. Dorofeeva, V. Sigaev. - in: Sovremennaya Malayziyskaya Novella (Cerpen Malaysia Moden). Penyusun V. Sigaev, B. Parnickel. Prakata B. Parnikel. Moscow: Progress, 1977.
§  Usman Awang. Pak Utih. Penterjemah V. Braginsky - in: "Pamir", 1977, № 1, hlm. 76-77.
§  Usman Awang. Pak Utih. Penterjemah V. Braginsky - in: Izbrannie Proizvedeniya Poyetov Azii (Karya Pilihan Penyair Asia). Moscow: Vostochnaya Literatura, 1981.
§  Usman Awang. Tam Gde ih Nastigla Pulya. Povest' i Rasskazi (Tulang-Tulang Berserakan. Novel dan Cerpen-Cerpen). Penyusun dan prakata B. Parnickel. Moscow: Vostochnaya Literatura, 1981 [kandungan:Tulang-Tulang Berserakan (novel). Penterjemah A. Rozhanskaya; Mogok. Kempen Pilihanraya. Tontonan. Sambil Lalu (cerpen). Penterjemah T. Dorofeeva]
§  Usman Awang. Pak Utih; Kambing Hitam; Balada Tentang Pembunuhan Beringin Tua di Pinggir Jalan. Penterjemah Marina Eliseeva. - in: Ruchei. Traditsionnaya i Sovremennaya Malayskaya Poezia (Sumur di Ladang. Puisi Melayu Tradisional dan Moden). Penyusun dan prakata B. B. Parnickel. Moscow: Krasnaya Gora, 1996. ISBN 5-87647-006-6
§  Usman Awang. Bunga Popi; Balada Tentang Pembunuhan Beringin Tua; Suara dari Pusara - in: Pokoryat' Vishinu. Stikhi Poetov Malayzii i Indonezii v Perevodah Victora Pogadaeva (Bertakhta di Atasnya. Puisi Penyair Malaysia dan Indonesia Dalam Terjemahan Victor Pogadaev). Moscow: Klyuch-S, 2009.ISBN 978-5-93136-089-8


          HASIL KARYA DATO USMAN AWANG
http://www.dawama.com/store/pic/dawama/item/B3513.jpg
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEilISbx9nIf0i6g8jufjYsyMbBgT7Y1jheKld0L6Ip7aNx5C2PjZL-baySzR6vn90rCxqUKSwgyhovTwpLkY6nrBdIGTQAGcDoqc2-xLFgkVww18UNcdRxg6-z9dp_Ufhb3fLLfd2coZsw/s320/27-03-08_1227.jpg
















       KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, semua hasil karya yang dihasilkan oleh Usman Awang adalah yang terbaik. Beliau menggunakan semua pengetahuan dan pengalamannya dalam setiap karya yang dihasilkan. Beliau bijak menggabungkan idea dengan pengalaman dalam menghasilkan karya-karyanya. Sehingga ke hari ini karya-karya beliau sering menjadi rujukan para pelajar dalam membuat kajian tentang novel-novel mahupun cerpen. Beliau juga merupakan penulis yang berbakat besar sehingga diiktiraf sebagai sasterawan negara. Segala jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan sastera telah banyak membuka mata pelbagai pihak mengenai dunia penulisan yang penuh dengan keseronokan walaupun menghadapi pelbagai halangan dan juga rintangan.
Oleh yang demikian, walaupun beliau telah meninggalkan kita, namun jasa dan sumbangannya dalam penghasilan karya-karya yang kreatif dan mantap ini akan terus diingat dan akan terus dijadikan sumber rujukan. Karya-karyanya akan terus dikembangkan dan diperkenalkan kepada generasi baru supaya tidak hilang di telan zaman.  Setiap yang di tinggalkannya haruslah di hargai dan di manafaatkan sebaknya agar dunia sastera tetap berkembangan maju dan seiring dengan perubahan zaman yang serba moden ini.