Sabtu, 14 Mac 2015

universal studios singapore trip

13mac..seawal jam 5 subuh kami bertolak dari keningau ke kkia. trip kali ini ke universal  studois simgapore. flight kami jam 10 pagi ke senai international airport dan seterusnya ke danga bay..

Isnin, 12 Ogos 2013

Piskologi Semantik

1.Pengenalan
Kajian saintifik dalam bidang pemerolehan bahasa telah dimulakan sejak kurun ke-16 lagi (Zulkifly, 1990:326-331). Kajian ini dimulakan oleh Tiedemann, seorang ahli biologi berbangsa Jerman pada tahun 1787. Charles Darwin, pengasas teori evolusi turut menjalankan kajian dalam bidang pemerolehan bahasa pada tahun 1877. Kajian-kajian yang seterusnya telah dilakukan oleh Preyer pada tahun 1882 dan kajian Sally pada tahun 1885. Selepas kajian-kajian perintis ini terdapat banyak kajian lain lagi yang mengkaji bahan-bahan dan subjek-subjek yang berbeza untuk melihat aspek-aspek yang berkaitan dengan pemerolehan sistem-sistem bahasa.
 Kajian-kajian terkini meliputi aspek kajian perbandingan pemerolehan bahasa antara bahasa yang berbeza, misalnya perbandingan antara bahasa Inggeris dengan bahasa Itali yang dilakukan oleh Antonella Devescovi dan lain-lain pada tahun 2003 (A Cross-Linguistic Study of the Relationship between Grammar & Lexical Development: On-line). Pemerolehan bahasa merupakan satu proses perkembangan bahasa manusia.Lazimnya pemerolehan bahasa pertama dikaitkan dengan perkembangan bahasa kanak-kanak manakala pemerolehan bahasa kedua bertumpu kepada perkembangan bahasa orang dewasa (Language Acquisition: On-line).
 Perkembangan bahasa kanak-kanak pula bermaksud pemerolehan bahasa ibunda kanak-kanak berkenaan. Namun terdapat juga pandangan lain yang mengatakan bahawa terdapat dua proses yang terlibat dalam pemerolehan bahasa dalam kalangan kanak-kanak iaitu pemerolehan bahasa dan pembelajaran bahasa. Dua faktor utama yang sering dikaitkan dengan pemerolehan bahasa ialah faktor nurture dan faktor nature. Namun para pengkaji bahasa dan linguistik tidak menolak kepentingan tentang pengaruh faktor-faktor seperti biologi dan persekitaran. Kajian-kajian telah dijalankan untuk melihat sama ada manusia memang sudah dilengkapi dengan alat biologi untuk kebolehan berbahasa seperti yang didakwa oleh ahli linguistik Noam Chomsky dan Lenneberg ataupun kebolehan berbahasa ialah hasil daripada kebolehan kognisi umum dan interaksi manusia dengan persekitarannya.
Mengikut Piaget, semua kanak-kanak sejak lahir telah dilengkapi dengan alat nurani yang berbentuk mekanikal umum untuk semua kebolehan manusia termasuklah kebolehan berbahasa. Alat mekanisme kognitif yang bersifat umum inilah digunakan untuk menguasai segala-galanya termasuklah bahasa. Bagi Chomsky dan Miller pula, alat yang khusus ini dikenali sebagai Language Acquisition Device(LAD) yang fungsinya sama seperti yang pernah dikemukakan oleh Lenneberg yang dikenali sebagai “Innate Prospensity for Language”. LAD dikatakan telah dimiliki oleh setiap anak secara semula jadi dan dengan alat nurani ini akan membolehkan kanak-kanak mampu memperoleh bahasa ibundanya dengan mudah dan cepat.
a.Latar belakang kajian
Kajian ini merupakan kajian awal untuk melihat pemerolehan bahasa kanak-kanak dari segi sintaksis. Subjek kajian ialah seorang kanak-kanak penutur natif bahasa Melayu dari kawasan Daerah Nabawan Sabah . Data yang digunakan untuk analisis kajian ialah data autentik yang diperoleh melalui lisan dan pendengaran. Data dianalisis berdasarkan tiga ciri utama aspek sintaksis iaitu panjang ayat, struktur sintaksis dan jumlah ujaran setiap giliran bertutur. Pengiraan Min Panjang Ujaran atau Mean Length of Utterance (MLU) mengikut Brown’s Stages of Development digunakan untuk menentukan tahap perkembangan bahasa kanak-kanak berkenaan.
b.Objektif kajian
Kajian ini bertujuan untuk:
a) memerhati dan melaporkan penghasilan bahasa kanak-kanak yang berusia lebih  daripada dua tahun  dari segi penerimaan (receptive).
b) memerhati dan melaporkan penghasilan bahasa kanak-kanak yang berusia lebih daripada dua tahun  dari segi pengeluaran (productive).
c.Skop kajian
Skop kajian ini merangkumi beberapa perkara seperti berikut :
i.                     Mengenalpasti  faktor-faktor yang mempengaruhi pemerolehan bahasa kanak-kanak.
ii.           Cara-cara bahasa diperolehi oleh seseorang kanak-kanak.




2.Kaedah Kajian
Kajian ini merupakan satu kajian kes tentang pemerolehan bahasa kanak-kanak dari aspek ‘penerimaan’ dan ‘pengeluaran’. “Penerimaan’ dan ‘pengeluaran’ adalah dua ciri penting dalam medium bahasa lisan. Kajian tentang penguasaan bahasa kanak-kanak ini berpusat kepada penguasaan tatabahasa rumus ayat (syntax grammatical rules) yang dikatakan tidak sama dengan sistem orang dewasa. 
a.Subjek Kajian
Sampel bagi kajian ini terdiri daripada seorang kanak-kanak lelaki Dusun yang bertutur dalam bahasa Melayu di kawasan Nabawan Sabah. Bahasa tersebut merupakan bahasa pertuturan harian dalam keluarga kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak tersebut tinggal bersama-sama dengan keluarga ibu bapanya sendiri serta seorang kakak dan seorang abang. Kanak-kanak tersebut dilahirkan pada 28 Febuari 2008. Ini bermakna kanak-kanak berkenaan berumur 3 tahun 7 bulan ketika kajian ini dilaksanakan. Nama penuh kanak-kanak tersebut ialah Aikal Danish Juman.
b.Pendekatan dan Perkaedahan
Pendekatan interaksi digunakan dalam kajian ini memandangkan subjek kajian yang dipilih selalu berpeluang berinteraksi dengan kedua-dua orang ibu bapa serta kakak dan abangnya. Bentuk interaksi  ini terdiri daripada interaksi yang tidak dirancang. Sebagai langkah untuk menjamin data rakaman yang lebih autentik, latar yang tidak dirancang digunakan. Rakaman pertuturan Aikal Danish dilakukan dalam pelbagai situasi dan keadaan dalam lingkungan keluarganya sendiri. Pengalaman Aikal Danish juga digunakan dan dianggap sebagai alat kajian ini. Transkripsi pertuturan subjek kajian ini dibuat dalam bentuk dan sistem ejaan fonemik. Transkripsi itu juga diberi padanannya dalam bahasa Melayu.
Pengumpulan Data
Data kajian dikumpul daripada transkripsi rakaman perbualan kanak-kanak tersebut dengan ibu dan ayahnya. Hanya 50 ujaran kanak-kanak tersebut diambil kira sebagai sampel dalam kajian.


Analisis Data
Aspek linguistik yang dianalisis dalam kajian ini ialah sintaksis. Analisis akan dilakukan secara kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kuantitatif melibatkan analisis distribusi dan pengiraan Min Panjang Ujaran atau Mean Length of Utterance(MLU) sebagai satu kaedah menentukan perkembangan bahasa kanak-kanak.
Analisis Sintaksis
Ayat-ayat yang dihasilkan oleh kanak-kanak yang menjadi subjek kajian dianalisis berdasarkan tiga ciri utama sintaksis iaitu:
(i) panjang ayat,
(ii) struktur sintaksis, dan
(iii) jumah ujaran setiap giliran bertutur

3. Dapatan Kajian Dan Perbincangan
Semua ujaran Aikal yang diperoleh melalui pendengaran diberi transkripsi dalam ejaan fonemik dalam bentuk ortografik. Ayat-ayat yang didapati dalam dialog dikategorikan ke dalam dua  bahagian iaitu ayat yang difahami (receptive) dan kedua, ayat-ayat yang dihasilkan  melalui ujaran yang dikeluarkan (productive). Kedua-dua jenis ayat tersebut dianalisis dari  segi bentuk dan masalah pemahaman. Oleh sebab fungsi bahasa pada peringkat kanak-kanak lebih penting daripada sistemnya, analisis ini lebih berpusat kepada maksud yang hendak disampaikan oleh Aikal dengan melihat kepelbagaian cara yang digunakan (Dale 1970; Halliday 1975), umpamanya dengan memerhatikan tekanan suara dan hubungan makna (semantic relation) dan susunan kata (word order) yang hadir dalam ayat-ayat yang diujarkan oleh Aikal.

3.1 Ayat-ayat Bentuk Pengeluaran (Productive)
Ayat-ayat (dalam bentuk ujaran) jenis pengeluaran (produktif) ialah ayat-ayat yang  diujarkan oleh Aikal dan diterima oleh orang lain. Pertamanya ialah ciri-ciri ayat dan keduanya masalah memahami ayat-ayat yang pelbagai itu. Daripada ayat-ayat ujaran Aikal yang dikumpulkan didapati Aikal berada pada Fasa Peralihan. Pada dasarnya, banyak ayat yang dikeluarkan terdiri daripada pola satu kata, dua kata dan tiga kata ataupun lebih. Kanak-kanak belajar dengan bertahap-tahap melalui interaksi sosial yang disebut oleh Hymes (1971) sebagai “kebolehan komunikatif (communicative competence) (Cazden 1972). Unsur-unsur bahasa matetik iaitu bahasa untuk belajar didapati dominan pada Aikal seperti menggunakan bahasa untuk memberi nama, menyatakan tujuan atau hasrat dan bahasa yang digunakan untuk mengagak-agak sesuatu makna atau keadaan.  Dalam contoh 1, Aikal menggunakan bahasanya untuk memberikan nama atau menyebut benda-benda, sama ada dengan menggunakan pengalaman hidup dunianya ataupun dengan mengagak-agak.
Contoh 1
Bapa:  Apa ini
Aikal: Ba (Bas)
Bapa: ini
Aikal: ni eta.( ini kereta)
Bapa: yang ini pula.
Aikal: ni ayung. ( ini payung)
Bapa: ini
Aikal:  ni acut ( ini kasut)
Bapa:  ini
Aikal: ni atas( ini kertas)
Bapa: ini
Aikal: attau(tidak tahu)
Bapa : ini telefon
Aikal : ni appon(ini telefon)

Berdasarkan perbualan di atas, Aikal banyak menggunakan ayat pola, dua kata daripada jenis Frasa Nama + Frasa Nama (FN + FN), Frasa Nama + Frasa Kerja (FN + FK) dan Frasa Nama + Frasa Adjektif (FN + FA) . Dalam konteks ini Halliday menamai jenis ujaran ini sebagai  pivot speech iaitu percakapan yang menggunakan perkataan tertentu berulang-ulang sama ada pada bahagian awal atau akhir kata. Bagi Braine (1976) perkataan seperti ini dipanggil sebagai ‘kata paksi’.   Dalam kajian ini didapati Aikal menggunakan perkataan ‘ni’ (ini) digabungkan dengan kata nama  lain seperti contoh berikut:
Bapa: ini
Aikal : ni kokok(ini ayam-kokok merujuk kepada bunyi ayam) ,ni ambu(ini lembu),ni onyet(ini monyet)
 Aikal dapat menamai binatang yang diketahuinya dengan  betul dengan cara mengikut pengalaman input orang dewasa iaitu ‘monyet’, ‘ayam’dan ‘lembu’  meskipun diujarkan dalam dialek bahasa pertamanya.  Nama-nama binatang tersebut dapat dikenali oleh Aikal kerana binatang-binatang itu sering dilihat olehnya sama ada secara autentik atau melalui visual yang terdapat dalam buku atau televisyen.  Walau bagaimanapun Aikal tidak dapat menamai nama binatang yang tidak pernah dilihatnya seperti rusa, zirafah, unta dan badak sebaliknya Aikal telah mengeneralisasikan binatang-binatang tersebut sebagai ‘aatau’ (tidak tahu) sahaja. Dalam contoh 2 dan 3 menunjukkan bahasa Aikal yang menggunakan pernyataan-pernyataan bagi tujuan atau hasratnya yang khusus ditujukan kepada orang lain yang rapat dengannya. Pemahaman hanya berlaku bergantung pada faktor-faktor interaksi, konteks tempat dan peristiwa.
Contoh 2
Aikal:  dey, engok aju antik. (daddy, tengok baju cantik)
Aikal: deyyyy mei ayan ana adai(daddy mari jalan sana kedai), aya auu engok ev(saya mahu tengok televisyen)

Selain melihat struktur, fungsi dan kelas kata, ayat-ayat (ujaran) bahasa  kanak-kanak juga dapat difahami melalui tekanan suara (stress). Tekanan suara dapat menentukan sama ada sesuatu ayat itu bermakna “ideational” atau “interpersonal”.  Ayat “ady enyok apa? (daddy tengok apa?)” menunjukkan Aikal ingin tahu dan memerlukan jawapan daripada orang yang berinteraksi dengannya. Perbualan Aikal nampaknya sudah mula berubah daripada bentuk instrumen dan regulatorykepada bentuk yang lebih pragmatik (Halliday 1975)  iaitu antara  ideational dan interpersonal. Dengan perkataan lain, bahasa pertuturan Aikal sudah mula berubah daripada bentuk matetik kepada bahasa orang dewasa. Dalam Contoh 4 dan 5 di bawah pula, menunjukkan ujaran Aikal menggunakan ayat-ayat yang lebih bermakna dan mempunyai ciri-ciri linguistik orang dewasa yang terdiri daripada makna semantik, tatabahasa leksikal dan fonologi seperti berikut:
Contoh 4
Aikal:   Ana acut ade? (Mana kasut daddy?)
         :   ana uku aya?(mana buku saya?)
Contoh 5
Aikal :tuu eta aya (itu kereta saya)
         : puttttt unyi ia tuuu tannn(puttt bunyi dia itu kan) ..putttt merujuk kepada bunyi kereta api.

Dalam Contoh 4 Aikal jelas mampu membentuk ayat selapis yang bercirikan ayat tanya yang biasa digunakan dalam tatabahasa pertuturan orang dewasa. Ayat-ayat tersebut menyamai sistem linguistik orang dewasa yang imaginatif, khususnya dalam Contoh 5. Aikal telah berjaya mengaitkan pengalamannya dalam ayat berkenaan kerana Aikal pernah menaiki kereta api dari Beaufort ke Kota Kinabalu bersama keluarganya ketika beliau berusia 3 tahun. Begitu juga dengan pengetahuannya tentang ‘lori’ yang pada kebiasaan kanak-kanak seusianya hanya mengeneralisasikan sebagai ‘kereta’ sahaja. Tetapi Aikal mempunyai pengalaman dengan melihat ‘lori’ keluar masuk ke kawasan rumahnya semasa rumah tersebut dalam prosespengubahsuaian ketika berusia 2 tahun.
 Secara ringkasnya, ciri-ciri dan masalah pemahaman ayat-ayat produktif Aikal didapati pada tahap usia 3 tahun, Aikal sudah mula berada pada tahap transisi. Perubahan ayat-ayat yang diucapkan oleh Aikal menunjukkan kanak-kanak ini sudah mula meninggalkan bahasa matetik atau ‘holofrasa’. Dapatan kajian ini seakan menyamai  7 kajian yang telah dilakukan Halliday (1975) terhadap anaknya Nigel. Namun demikian bahasa yang digunakan oleh Aikal masih bercampur-aduk  antara ayat yang berbentuk telegrafik dan ayat-ayat yang pragmatik seperti yang diperhatikan melalui ayat-ayat yang diujarnya dalam kajian ini. 
 Berdasarkan dua pertuturan yang didengar  dalam kajian ini, pengiraan Min Panjang Ujaran (MLU) bagi Aikal dibuat berdasarkan  Brown’s Stages of Development. MLU merupakan satu indeks yang telah diperkenalkan oleh Brown (1973) bagi mengukur perkembangan atau penguasaan bahasa kanak-kanak secara am. Mengikut  Bryen & Galagher (1991) mengukur ujaran kanak-kanak dan orang dewasa dengan menggunakan MLU merupakan pendekatan yang heuristik. MLU boleh dikira dengan membahagikan jumlah morfem dengan jumlah ujaran seperti berikut:
Jumlah mofem
  MLU  =  Jumlah mofem
                 Jumlah ujaran

 Sehubungan itu kajian ini mendapati MLU bagi ujaran Aikal dalam kedua-dua set
rakaman tersebut ialah:
 Set 1: Jumlah morfem 153 dan jumlah ujaran 49. 
153
  MLU  =   49
   = 3.12
 Set 2: Jumlah morfem 153 dan jumlah ujaran 49. 
183
  MLU  =   59
   = 3.10
Kajian ini menunjukkan MLU bagi kedua-dua set pertuturan Aikal adalah hampir sama iaitu 3.12 bagi Set 1 dan 3.10 bagi Set 2. Ini bermakna Aikal berada pada tahap atau Fasa III berdasarkan Brown’s Stages of Development. Ini bermakna Aikal sudah berada pada peringkat peralihan ke arah penggunaan bahasa orang dewasa.

3.2.Ayat-ayat Bentuk Penerimaan
Ayat-ayat (dalam bentuk ujaran) jenis penerimaan atau reseptif ialah ayat-ayat yang diterima dan difahami oleh Aikal apabila diujarkan oleh penutur lain.  Tumpuan utama analisis ialah tentang persoalan “Apakah bentuk-bentuk ayat reseptif yang difaham dan apakah masalah pemahaman yang dihadapi oleh kanak-kanak?”. Ayat-ayat yang menjadi contoh dalam analisis ini ialah ayat yang diambil daripada beberapa dialog dalam  perbualan Aikal.  Ciri pertama ayat-ayat bentuk reseptif yang mudah  difahami bergantung pada bahasa dalam dialog yang digunakan oleh penyampai yang berinteraksi dengan seseorang kanak-kanak. Dialog yang mudah difahami biasanya terdiri daripada dialog yang digunakan oleh ‘ibu’ (motherese) iaitu bentuk pertuturan yang disederhanakan sebagai input bahasa yang didengar oleh kanak-kanak.
Bahasa pertuturan begini terdiri daripada penggunaan ayat yang pendek, perkataan-perkataan yang merujuk kepada makna yang konkrit dan tidak menggunakan imbuhan. Mengikut Messer (1983), pada kebiasaannya pertuturan orang dewasa terhadap kanak-kanak mempunyai ujaran yang pendek berbanding pertuturan sesama orang dewasa, sama ada ukuran dari aspek morfem (Drach 1969), atau bilangan perkataan (Philips 1973;  Longhurst & Stepanich 1975). Penggunaan min ujaran yang pendek adalah untuk memberi peluang kepada kanak-kanak memilih perkataan yang sesuai untuk menjawab segala pertanyaan orang dewasa tersebut.
Dalam kontek kajian ini, Aikal didapati mudah untuk memahami ayat-ayat yang menggunakan intonasi yang menunjukkan fungsi tertentu dengan dibantu oleh isyarat atau visual. Aikal lebih cepat faham kalau gambar-gambar dan objek digunakan ketika menyoal. Bagi mencetuskan pengalamannya, pengkaji menggunakan situasi dan setting yang sesuai. Beberapa contoh di bawah merupakan ciri-ciri ayat reseptif yang mudah difahami oleh Aikal.
Contoh 6
1.  Bapa:  Apa ni? (Ini apa?)
2.  Bapa:  Ni? (Ini?)
3.  Bapa:  Ni apa ni? (Ini apa ini?)
Contoh-contoh ayat tanya di atas dengan maksud yang sama oleh saya iaitu bagi menguji pengetahuan Aikal tentang visual yang ditunjukkan oleh bapanya dan dilihat oleh Aikal dalam buku (instrument kajian). Aikal menjawab semua visual yang dikenalinya berdasarkan pengalaman dan apa yang pernah dilihatnya sama ada melalui televisyen atau buku. Ayat-ayat yang digunakan oleh Aikal dan saya adalah bercirikan ‘motherese’ sesuai dengan stuasi, mood dan fungsi soalan yang dikemukakan oleh saya dan dijawab oleh Aikal, begitu juga sebaliknya. 
Mengikut Asmah (1986) salah satu dorongan bagi manusia untuk menggunakan bahasa ialah memberi nama atau jenama “label”  kepada apa yang dilihat di sekitarnya. Orang dewasa apabila melihat sesuatu yang belum dikenalinya, akan terus bertanya “Itu apa?”. Benda yang sudah ada nama atau “label” itu akan tinggal dalam daya ingatan seseorang jauh lebih lama berbanding benda yang belum diberi nama, sungguhpun pemberian nama itu adalah sewenang-wenang. Kajian ini menunjukkan bahawa Aikal dapat menjawab dengan betul apabila disokong dengan gambar objek tetapi ada kalanya juga Aikal cuba meneka terutama bagi gambar yang kurang diketahuinya. Ini kerana objek yang dilihat tersebut tiada dalam pengalaman atau pengetahuannya. Bukti ini menggambarkan bahawa kanak-kanak mempelajari bahasa daripada pelbagai sumber yang terdapat dalam persekitaran mereka (Juriah Long 1993). Aikal tidak menjawab pertanyaan bagi objek sedemikian tetapi dia cuba mengalihkan kepada gambar-gambar yang diminati atau yang biasa baginya. Misalnya dalam Contoh 7, apabila saya menunjukkan gambar ‘kren’ Aikal cuma memberikan jawapan ‘kereta’, iaitu gambar atau objek yang biasa dilihatnya.
Contoh 7
Bapa:  ini
Aikal: ni eta(ini kereta)
Bapa: yang ini
Aikal: tu pu eta(itu pun kereta)


Rumusan
Rumusan daripada kajian ini menunjukkan bahawa aspek ayat memainkan peranan penting dalam penguasaan bahasa kanak-kanak dalam menuju kebolehan bahasa orang dewasa. Penguasaan ayat merupakan satu daripada dua perkara penting dalam menguasai sistem bahasa selain morfologi. Kedua-duanya dikenali sebagai lexicogrammar. Penguasaan ayat juga tidak dapat dipisahkan daripada penguasaan fonologi dan semantik sesuatu bahasa. Pada kesimpulannya kajian ini mendapati analisis 10ujaran menunjukkan Aikal mempunyai MLU 3.12 dalam rakaman Set 1 dan 3.10 dalam rakaman Set 2 yang menunjukkan satu tahap normal dalam perkembangan penguasaan bahasa kanak-kanak.
Dari segi sebarannya, Aikal lebih banyak menggunakan ayat-ayat satu kata dan dua kata, manakala ayat-ayat tiga kata ke atas kurang digunakan. Dalam Set 1 Aikal telah menggunakan 73.4% ayat dengan menggunakan kata tunggal (satu kata) dan dua kata, manakala selebihnya 26.6% lagi ayat tiga ke atas. Dalam Set 2 Aikal telah menggunakan ayat satu kata dan dua kata sebanyak 81.2% dan selebihnya 18.85 lagi ayat tiga kata ke atas. Aikal telah cuba menggunakan ayat yang berubah-ubah mengikut situasi dan keadaan bergantung pada fungsi yang hendak disampaikannya. Ayat-ayat itu terdiri daripada ayat satu kata, dua kata, tiga kata dan lebih daripada empat kata. Aikal juga sudah mula menggunakan ayat tanya. Penguasaan bahasa Aikal didapati telah berada pada Fasa 3 setelah melepasi Fasa 2. Peringkat ini ialah peringkat transisi ke arah penggunaan bahasa orang dewasa.
Aikal dapat memahami ayat-ayat yang didengarnya kerana ayat-ayat itu mempunyai ciri-ciri bahasa matetik dan holofrastik. Aikal juga mudah faham jika mendengar ayat-ayat yang mudah atau ringkas (ayat telegrafik) dengan merujuk kepada benda, situasi dan pengalaman yang konkrit yang menunjukkan Aikal sudah mula melangkah ke peringkat bahasa transisi, iaitu mula  menguasai ciri-ciri bahasa orang dewasa. Dalam istilah nahu transfomasi, Aikal sudah ada keupayaan berbahasa (language competence).  Mengikut Asmah (1986) peraturan bahasa bukanlah satu hal yang mudah dikuasai. Bayangkan sahaja jumlah bunyi dan peraturan bagi mewujudkan rentetan bunyi hingga menjadi suku kata dan seterusnya kata.



Penutup
Pada umumnya, setiap bayi yang normal akan mengalami proses perkembangan bahasa secara berperingkat-peringkat dan bersifat arbitrari. Perkembangan bahasa akan menjadi lebih mantap dan sempurna mengikut perkembangan usia kanakkanak tersebut. Mengikut Mangantar Simanjuntak, 1987 (dlm. Tay. 2000:228) peringkat perkembangan bahasa ini boleh dibahagi kepada peringkat mengagah,peringkat holofrasa,peringkat ucapan dua kata, peringkat permulaan tatabahasa,peringkat menjelang tatabahasa dewasa dan peringkat kecekapan penuh.

Seseorang kanak-kanak akan melalui tiga proses pemerolehan bahasa iaitu proses pemerolehan komponen fonologi, sintaksis dan semantik. Ketiga-tiga komponen ini dikatakan berlaku secara serentak. Mengikut Menn dan Stoel Gammon (Babbling: On-line), dalam perkembangan bahasa, tempuh vokalisasi pralinguistik atau tempuh mengagah boleh dibahagikan kepada lima tahap iaitu tahap tangisan, “cooing”, tahap bermain dengan vokal, tahap “canonical babbling” (bermula pada umur 6 bulan) dan tahap “conversational babbling” yang bermula pada umur lebih kurang 10 bulan.

Seterusnya apabila mencapai umur 12-18 bulan, kanak-kanak akan mula menggunakan bunyi atau satu kata untuk merujuk kepada sesuatu yang bermakna, misalnya bunyi “kereta” untuk merujuk kepada benda kereta atau mengujarkan satu kata “kereta” untuk mewakili satu ayat yang mungkin bermakna “Mama, saya naknaik kereta”. Apabila menjangkau umur 18-24 bulan, kanak-kanak sudah dapat menghasilkan kata-kata yang membentuk ayat pendek. Peringkat mengagah yang berlaku dalam tahun pertama kanak-kanak merupakan satu proses yang normal. Vokalisasi kanak-kanak seterusnya akan berkembang mengikut perkembangan
umur kanak-kanak berkenaan.

Dari segi pemerolehan komponen semantik, prosesnya boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu peringkat penyempitan erti kata, peringkat generalisasi berlebihan, peringkat medan semantik dan peringkat generalisasi. Perkembangan penguasaan sintaksis pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu tahap telegraf, tahap morfem dan tahap transformasi manakala dalam perkembangan fonologi, kanakkanak melalui peringkat agahan iaitu menghasilkan bunyi secara rambang.

Biblografi
Asmah Haji Omar. 1986. Bahasa dan Perkembangan Mental.  Jurnal Dewan Bahasa 31(10): 711 - 720
Zulkifley, Hamid (2000).  Bahasa: Konsep, fungsi, dan penguasaannya oleh penutur. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. (Bab 2: Psikolinguistik Sebagai Penyingkap Akal Budi).
Kamarudin Hj Husin (1988). Pedagogi bahasa. Longman: Petaling Jaya.
(Bab 3 & 4 ).
Mangantar Simanjuntak (1987). Pengantar psikolinguistik moden. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.  (Bab 1-5, Bab 9).
Noor Aina Dani. (2007). Pengantar psikolinguistik. Sasbadi Sdn. Bhd. Petaling Jaya (Bab 4: Bahasa, Otak dan Pemikiran, hlm 149-194).